Pages

Friday, October 29, 2010

Syed Qutb


Anda dapat melihat jelas gambar di atas? Bila anda dikehendaki untuk menyebut namanya adakah anda yakin anda boleh menjawabnya dengan betul? Di sini saya ingin menyeru sahabat-sahabat di luar sana agar dapat sama-sama mengulangkaji dan mencari kebenaran dalam Sirah Islamiyah. Buat pengetahuan semua penulis cuma berkelulusan Darjah 6, sekolah agama rakyat di Pontian, Johor.


Siapa Syed Qutb?

Syed Qutb ialah satu nama besar dalam sejarah pemikiran gerakan Islam pada abad ke 20. Sejak kematiannya pada tahun 1966, karya-karyanya telah disebarkan dan menjadi inspirasi kepada pendokong-pendokong gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Ianya telah menawan pemikiran dan komitmen generasi muda Islam untuk memulia dan memartabatkan Islam. Jika ini adalah kali pertama anda mendengarnya, sebenarnya agak memalukan bagi seseorang yang bergelar muslim. Mana yang anda lebih kenali di antara Mahatma Ghandi dan Syed Qutb? Tanyalah diri anda sendiri.

Latar belakang Syed Qutb

Syed Qutb (juga dikenali Said, Sayyid, Seyyid, Sayid, atau Sayed; Qutb; Koteb, Qutub, Kotb, atau Kutb)Moshah, sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir. Nama sebenar Sayyid Qutb ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali. B dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di eliau mendapat didikan awal di rumah daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Beliau dilahirkan daripada keluarga yang sederhana. Sewaktu berusia 6 tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur'an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafalnya.

Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb berhijrah ke kota Qahirah. Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.

Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung semula pengajiannya.  Beliau memasuki  sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah.  Pada tahun 1930 beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari'ah.

Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan di Kementerian Pendidikan.  Oleh itu beliau melakukan kajian demi kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain daripada terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan politik dan  dunia penulisan.  Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan agar Syed Qutb dihantar "berkursus" di Amerika Syarikat. Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal.



Kehidupannya di Amerika walaupun singkat, telah memberi Syed Qutb beberapa pengalaman hidup dan pengajaran yang sangat penting seperti melihat prejudis kaum yang dahsyat di Amerika dan juga sokongan Amerika kepada penubuhan Israel yang cukup menyentuh perasaan Syed Qutb.

Perubahan Syed Qutb

Awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupan Syed Qutb.  Era ini boleh dikatakan sebagai era kesedarannya kembali kepada Islam.  Namun pada peringkat ini beliau masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam.  Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian dibukukan dengan tajuk "At-Taswir Fanni Fil Qur'an" pada tahun 1939.  Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur'an.  Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk  "Masyahidul Qiamah Fil Qur'an".  Kedua-dua penulisan itu telah menemukan semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil dahulu.

Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan  sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul "Al-Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam". Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.

SYED QUTB BERSAMA IKHWAN AL-MUSLIMIN 

Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam jama'ah Ikhwan al-Muslimin, sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966.  Bagi Syed Qutb, tempoh itu sangat penting  baginya. Beliau sendiri menganggap tahun 1951 sebagai tahun kelahirannya semula.


Syed Qutb menyertai jamaah Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949.  Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.
Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr. Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku "Al-'Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam", karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb ) adalah sebahagian daripada kita ( Al-Ikhwan ).  Seterusnya Imam al-Banna telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa "orang  ini"  (Syed Qutb) akan menyertai  al-Ikhwan tidak lama lagi.

Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna.  Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah bersama dengan al-Banna.  Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta menyambut berita tersebut.
Sekembalinya  dari Amerika Syarikat,  Syed Qutb terus  mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhir menemui suatu "kebenaran" yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna. 
Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna, Ikhwan al-Muslimin masih  bertenaga kerana memperolehi saf kepimpinan yang berwibawa untuk meneruskan kepimpinan.  Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai Mursyidul Am,  Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan  Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah,  dianggap sebagai "ideolog" kepada Ikhwan al-Muslimin.

Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam.  

Antaranya ;
 1- Hadha  al-Din.
 2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
 3- Khasa'is  al-Tasawwur al-Islamiyy.
 4- Maalim fi al-Tariq.
 5- Tafsir Fi Zilal al-Qur'an. 
Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah.  Menurutnya kemuncak kepada  Tauhid Uluhiyyah Allah swt ialah hakNya dari sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri'.  Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah  pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.

Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir iaitu "Revolusi Julai 1952". Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja Mesir, dijayakan oleh gerakan  "Dubbat  al-Ahrar" pimpinan Kolonel Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.

Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri Pelajaran Mesir.  Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi  Mesir akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun mereka menolaknya untuk melaksanakan pemerintahan Islam. Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb merasakan perkara tidak baik akan berlaku.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Ekoran daripada itu tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin  di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun  hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq.  Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.

Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari'at Allah. 
Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota keluarganya.  Syed Qutb seorang yang bermaruah.  Sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusan menemui Syed Qutb.  Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis  kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan. Namun 

Syed Qutb dengan tegas menjawab; 
 "Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan". 

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah mengejutkan Dunia Islam.  Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut.

Masyaallah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...